Komuniti Siber X SMVPJB/SMTPJB

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Bush, Ahmadinejad - serupa tapi tak sama!


Optima 90/91

Status: Offline
Posts: 144
Date:
Bush, Ahmadinejad - serupa tapi tak sama!


Oleh MASZLEE MALIK (Utusan Malaysia)


SYADI Faqeh, seorang penulis Syiah dari Lebanon telah melontarkan satu fakta yang menarik. Di dalam bukunya Ahmadi Nejad, Wa al-Thawrah al-‘Alamiyyah al-Muqbilah (Ahmadi Nejad, Dan Revolusi Sedunia Yang Hampir), beliau telah membuat perbandingan di antara Presiden George W. Bush dan juga Presiden Iran, Ahmadinejad.


Kedua-dua pemimpin tertinggi negara yang bermusuh itu telah cuba dibandingkan melalui sudut yang amat unik. Perbandingan yang beliau lakukan menunjukkan terdapat banyak persamaan di antara kedua-dua pemimpin berbanding perbezaan.


Walaupun “persamaan” merupakan perkataan yang digunakan, namun ia bukanlah bererti mereka berdua sama dalam setiap sudut yang diperbincangkan. Bak kata pepatah Melayu, serupa tapi tak sama.


Di antara persamaan Bush dan Ahmadinejad:


* Bush dan Ahmadinejad mewakili golongan konservatif dan ekstremis kanan aliran masing-masing. Bush mewakili Kristian Avengalist dan neokonservatif dalam politik AS, manakala Ahmadinejad pula mewakili golongan konservatif Syiah (Hujjatiyeh) dalam politik Iran.


Kedua-duanya juga merupakan idealis dalam memperjuangkan ideologi masing-masing.


* Bush dan Ahmadinejad mempunyai matlamat mengamankan dunia daripada musuh-musuh mereka yang dianggap sebagai syaitan. Bush sentiasa menjadikan segala polisi luar negaranya langkah untuk menjaga keamanan dunia dari ancaman paksi kejahatan (Iran, Korea Utara dan Syria). Ahmadinejad pula berjuang untuk menghapuskan kejahatan “Mustakbirin” yang membawa kemusnahan kepada dunia. Mustakbirin tersebut adalah rejim Zionis Israel dan juga AS.


* Bush dan Ahmadinejad tidak mengenal erti toleransi dan bertolak ansur dengan musuh-musuh mereka. Apabila berhadapan dengan musuh masing-masing, kedua-duanya akan bersifat agresif dan juga tegas.


* Ucapan-ucapan Bush mengenai Iran, dan juga Ahmadinejad mengenai AS cukup menjadi bukti sikap masing-masing terhadap musuh.


* Kedua-dua pemimpin juga begitu mengimani teori pertembungan antara dua tamadun, Islam dan Barat (Kristian).


* Bush sentiasa mendapatkan nasihat-nasihatnya daripada para pemimpin Avengalist seperti Pat Robertson, Jerry Farewell dan lain-lain di dalam persoalan politik. Ahmadinejad pula sentiasa mendapatkan pandangan daripada para ulama merangkap pemimpin spiritualnya seperti Syeikh Misbah al-Yazdi dan Syeikh Jawwad al-Aamili.


* Bush merupakan Datuk Bandar Texas, manakala Ahmadinejad pula merupakan Datuk Bandar Irdibil.


* Kedua-dua pemimpin telah menggantikan orang yang mereka anggap tidak menepati kehendak Tuhan di dalam karier politik mereka. Bush menggantikan Bill Clinton yang rosak akhlaknya dan dianggap oleh Bush sebagai orang yang ingkar kepada perintah Tuhan. Ahmadinejad pula menggantikan Khatimi yang dianggap oleh beliau sebagai penyebab kepada keruntuhan akhlak muda-mudi di Iran.


* Kedua-dua mereka menjadikan agenda memperbaiki masyarakat dan memerangi keruntuhan moral sebagai polisi dalam negara AS dan Iran.


* Ketika Bush menerima pelantikan sebagai Presiden AS, beliau telah mewarnai Rumah Putih dengan acara-acara keagamaan Kristian. Beliau juga telah memperhebatkan usaha keagamaan Kristian dalam pentadbirannya. Bush juga telah mengadakan kelas Injil di Rumah Putih sebagai aktiviti hariannya. Ahmadinejad juga terkenal dengan usahanya memperhebatkan upacara-upacara keagamaan. Beliau juga amat proaktif di dalam usaha memperkembangkan ajaran Syiah, di samping usahanya mengadakan kelas agama sebagai program harian di kediaman Presiden Iran.


* Bush begitu beriman dengan akidah kedatangan semula Jesus untuk membawa 1,000 tahun kegembiraan. Ahmadinejad juga begitu kuat mengimani akidah kebangkitan semula Imam al-Mahdi Syiah yang akan membawa keamanan kepada dunia.


* Bush mempersiapkan polisi-polisi luar AS untuk menantikan kebangkitan semula Jesus yang diyakini beliau semakin hampir. Lobi Kristian Zionis dalam kumpulan neoKonservatif di kongres AS telah membantu beliau untuk menjayakan misi tersebut. Ahmadinejad pula mempersiapkan segala kekuatan dan memusatkan segala usaha negaranya untuk menyambut kebangkitan al-Mahdi yang dianggap semakin hampir. Kumpulan ulama dan juga pengawal revolusi akan sentiasa bersama beliau untuk memastikan polisi Iran adalah selari dengan persiapan mereka untuk menyambut kebangkitan tersebut.


* Bush begitu mengimani peperangan besar (Amagedon atau Apocalypse war) di Palestin di antara Yahudi dan orang Arab. Peperangan tersebut menjadi prasyarat terakhir sebelum munculnya Jesus. Ahmadinejad pula mengimani peperangan besar yang akan berlaku di Palestin di antara Yahudi dan umat Islam di bawah pimpinan Imam al-Mahdi. Kedua-dua mereka sedang menantikan peperangan tersebut.


* Bush melalui polisi luarnya sentiasa melindungi kaum Yahudi Zionis sebagai persiapan untuk peperangan tersebut. Ahmadinejad pula sedang memperhebatkan usaha mengumpulkan kekuatan demi peperangan berkenaan.


Kebanyakan pengikut-pengikut Bush mempercayai bahawa beliau akan menjadi pemimpin tentera di dalam peperangan Armagedon. Para pengikut Ahmadinejad juga ramai yang mempercayai bahawa Ahmadinejad akan menjadi pemimpin tentera al-Mahdi.


* Bush membuat pentafsiran kepada suasana politik berdasarkan pentafsiran semula kitab perjanjian lama Old Testament di dalam Bible. Ahmadi Nejad pula membuat pentafsiran kepada suasana politik semasa berdasarkan al-Quran dan juga riwayat-riwayat daripada imam-imam Syiah.


* Bush menganggap Iran sebagai tentera dajal, Ahmadinejad pula menganggap AS sebagai tentera dajal.


* Bush menganggap penjajahan AS ke atas Iraq sebagai langkah awal kepada kemunculan Jesus. Ahmadinejad pula menganggap ia sebagai petanda awal kedatangan al-Mahdi.


* Bush beriman bahawa perlindungan AS kepada “Israel” adalah tanggungjawab akidah. Ahmadinejad pula meyakini bahawa kehancuran “Israel” pula sebagai perkara akidah.


* Bush beriman bahawa Kitab Perjanjian Lamanya ada memberikan petunjuk bahawa usaha untuk menghancurkan “Israel” akan menyeberangi Iraq. Di atas kepercayaan inilah beliau mempersiapkan kekuatannya di kawasan berkenaan sebagai persiapan untuk peperangan Armagedon. Ahmadinejad pula meyakini bahawa tentera Al-Mahdi yang akan menghancurkan “Israel” untuk membebaskan Al-Aqsa akan menyeberangi Iraq. Beliau begitu meyakini kata-kata Khomeini yang mengatakan bahawa “Jalan untuk membebaskan Al-Aqsa akan melalui Karbala!”


* Kedua-dua Bush dan Ahmadinejad mempercayai bahawa Baitulmaqdis bakal menjadi ibu kota kepada kerajaan Tuhan di muka bumi.


Apakah mungkin cukup bagi dunia kedua-dua pemimpin seumpama ini ataupun dunia memerlukan lebih dari dua orang pemimpin yang serba kontroversi ini? Atau mungkin juga dunia tidak memerlukan kepada pemimpin-pemimpin seperti kedua-dua pemimpin ini?


Apa yang pasti, peta politik Asia Barat tidak lagi seperti dulu selepas ini akibat dari pentadbiran kedua-dua pemimpin berkenaan!




__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard