Komuniti Siber X SMVPJB/SMTPJB

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Doktor Palsu Didedah -- 6 Pusat Perubatan Dikendali Warga Asing, Jururawat Yang Menyamar


Optima 90/91

Status: Offline
Posts: 144
Date:
Doktor Palsu Didedah -- 6 Pusat Perubatan Dikendali Warga Asing, Jururawat Yang Menyamar


(Utusan Malaysia - 23/01/2007) 

PUTRAJAYA 22 Jan. – Awas, bukan semua doktor yang anda temui di klinik dan pusat perubatan adalah doktor sebenar yang bertauliah untuk merawat pesakit.

Jika anda tidak bernasib baik, mereka mungkin salah seorang daripada doktor palsu yang menipu merawat orang ramai dengan berselindung di sebalik nama klinik dan pusat perubatan,

Setakat ini, Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti sekurang-kurangnya enam buah pusat perubatan yang mengupah doktor palsu untuk merawat pesakit termasuk menyambut kelahiran bayi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek semasa mendedahkan perkara itu berkata, pusat-pusat perubatan tersebut dikendalikan oleh warga asing, pembantu perubatan, jururawat komuniti dan bekas jururawat tentera yang menyamar sebagai doktor.

‘‘Mereka tidak mempunyai kelayakan tetapi beroperasi seperti doktor termasuk menyambut bayi sedangkan pusat perubatan tempat mereka bekerja mempunyai nama canggih seperti klinik 24 jam dan pusat bersalin,” katanya.

Soi Lek berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak Beta-Agonist peringkat kebangsaan di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Menurut beliau, gejala itu terbongkar selepas semua pengusaha klinik perubatan dan pergigian swasta diwajibkan mendaftarkan premis mereka dengan Kementerian Kesihatan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Enam pusat perubatan yang menggaji doktor-doktor palsu itu terletak di Klang dan Johor Bahru. Kementerian Kesihatan kini dalam proses mendakwa doktor palsu dan pusat perubatan tersebut.

Tempoh pendaftaran di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 telah berakhir November lalu. Di bawah akta itu, pengamal perubatan

yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga RM300,000 atau penjara enam tahun dan kedua-duanya.

Mengenai penguatkuasaan akta tersebut, katanya, pada peringkat awal ia diperkenalkan terdapat doktor yang ‘merajuk’ kerana mereka terpaksa mendaftar namun selepas disemak, kementerian mendapati ada doktor yang memiliki klinik merupakan doktor palsu.

‘‘Sebelum penguatkuasaan peraturan itu kita tidak tahu siapa doktor sebenar,” katanya.

Sementara itu, Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Noor Nirwandy Mat Noordin mahu Kementerian Kesihatan menjalankan pemeriksaan berkala ke atas pusat perubatan di seluruh negara untuk mengelakkan doktor-doktor palsu mengaut keuntungan.

Menurutnya, pemeriksaan berkala itu perlu dijalankan bukan sahaja untuk memastikan semua doktor mempunyai kelayakan profesional malah ia juga bertujuan memastikan peralatan perubatan yang digunakan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

‘‘Saya mencadangkan agar pemeriksaan ke atas hospital, pusat perubatan dan klinik dijalankan secara berkala sekurang- kurangnya dua kali setahun.

‘‘Langkah ini wajar dilaksanakan untuk memastikan tiada pesakit yang teraniaya,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Teoh Siang Chin juga mengalu-alukan penguatkuasaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

‘‘Sebelum ini doktor palsu tidak dapat dibezakan dengan doktor bertauliah.

‘‘Akta tersebut telah membolehkan mereka yang tidak berkelayakan dikesan dan dihalang daripada terus beroperasi,” katanya.

Siang Chin memuji usaha Kementerian Kesihatan memastikan klinik swasta hanya diuruskan oleh mereka yang berkelayakan dalam bidang perubatan.

Sementara itu, pada sidang akhbar di Putrajaya, Soi Lek turut mengulas mengenai kelewatan projek pembinaan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Star.

Katanya, Kementerian Kesihatan hanya akan menerima bangunan hospital tersebut selepas kerosakan diperbaiki selain pembinaannya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

‘‘Kalau Kementerian Kesihatan menerima HSB sekarang, kontraktor akan lepas tangan malah kami terpaksa membayar kos membaiki kerosakan,” katanya.

Menurut Soi Lek, pembinaan hospital adalah berbeza dan rumit berbanding pembinaan bangunan yang lain kerana kontraktor yang dipilih perlu mempunyai kepakaran dan pengalaman tertentu.

Semalam, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah mengingatkan semua jabatan kerajaan mengambil iktibar daripada pembinaan HSB yang gagal disiapkan mengikut jadual sejak ia mula dibina pada Ogos 2000.

Dalam pada itu, ketika menjelaskan tentang penggunaan agen Beta-Agonist untuk ternakan babi, Soi Lek berkata, penternak babi diberikan tempoh hingga hujung bulan ini untuk menandatangani akujanji dengan Kementerian Kesihatan mengenai penggunaan Beta-Agonist.

Jika mereka gagal berbuat demikian, katanya, mulai bulan depan penternak terbabit tidak dibenarkan lagi menghantar babi milik mereka untuk disembelih di rumah penyembelihan.



-- Edited by anif at 09:10, 2007-01-23

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard