Komuniti Siber X SMVPJB/SMTPJB

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Beras tidak dirunding dalam FTA dengan Amerika – Rafidah - Utusan Malaysia


Optima 90/91

Status: Offline
Posts: 144
Date:
Beras tidak dirunding dalam FTA dengan Amerika – Rafidah - Utusan Malaysia


Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN dan NORLIZA ABD. RAHMAN


KUALA LUMPUR 11 Jan. – Kerajaan menjelaskan bahawa beras tidak pernah disenaraikan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia dengan mana-mana negara kerana komoditi tersebut merupakan mata pencarian utama petani di negara ini.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, kerajaan sangat prihatin dengan nasib petani dan tidak akan sekali-kali mengambil tindakan yang boleh menjejaskan periuk nasi mereka.


“Selain beras, tembakau turut tidak disenaraikan dalam mana-mana perjanjian FTA termasuk dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat (USFTA) dengan Malaysia demi menjaga kepentingan petani di negara ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di Cebu, Filipina hari ini.


Rafidah berada di sana kerana terlibat dalam Sidang Kemuncak ASEAN yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak panik dengan berita mengenai kemasukan beras Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia apabila termeterainya USFTA dengan Malaysia pada tahun 2010.


Menurutnya, kebimbangan masyarakat petani, nelayan dan penduduk luar bandar mengenai kemungkinan periuk nasi mereka terancam apabila beras import dari AS dijual di bawah kos pengeluaran dan tanpa cukai adalah tidak berasas.


“Beras tidak disenaraikan dalam rundingan perjanjian tersebut. Oleh itu, isu kemasukan beras AS ke Malaysia tidak timbul sama sekali kerana perkara itu tidak benar dan tidak berasas,’’ tambah beliau.


Rafidah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan pelbagai lapisan masyarakat terhadap cadangan AS mengeksport lebih banyak produk pertanian ke negara ini, terutamanya beras, apabila termeterainya USFTA nanti.


Rundingan USFTA dengan Malaysia kini memasuki pusingan keempat dan berlangsung di San Francisco, AS sejak 8 Januari lalu hingga esok.


Rafidah berkata, dakwaan itu hanyalah permainan pihak pembangkang yang mahu mengambil kesempatan bagi mengelirukan rakyat mengenai usaha kerajaan dalam menghadapi cabaran globalisasi.


Dalam hal-hal penting sebegini, katanya, kerajaan tidak akan menjejaskan kemakmuran rakyat bagi manfaat negara lain.


“Kita tidak pernah merundingkan mengenai beras dan tembakau (dalam mana-mana FTA).


“Kita hanya rundingkan bahan-bahan keluaran kita yang hendak dieksport,’’ tegasnya.


Menurut Rafidah, pada tahun lalu negara hanya mengimport 746,000 kilogram beras separa proses dari AS bagi kegunaan warga Jepun di negara ini.


“Ia merupakan beras khas, bukannya beras yang diproses seperti di Malaysia dan jumlahnya sangat kecil,’’ ujarnya.


Di PUTRAJAYA, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan akan mengurangkan atau memansuhkan duti import produk beras dari AS.


Timbalan Setiausaha Bahagian, Cawangan Antarabangsa, Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa kementerian itu, Rubiah Abd. Rahman menegaskan cadangan perjanjian USFTA dengan Malaysia menetapkan lapan jenis padi di bawah Kod Tarif Kastam Malaysia dikategorikan sebagai produk di bawah Senarai Pengecualian.


Menurutnya, kod produk tersebut ialah 100610100; 100610900; 100620100; 100620900; 100630 100; 100630900; 100650100 dan 100649000.


“Ini bermakna produk-produk ini tidak akan ditawarkan untuk pengurangan atau penghapusan duti import di bawah USFTA kelak.


“Penjelasan ini diharap dapat melegakan keresahan di kalangan petani dalam sektor penanaman padi,'' katanya dalam satu kenyataan sebagai mengulas laporan mengenai isu itu yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini.


Rubiah memberitahu, sejak rundingan USFTA dimulakan Jun tahun lalu, Malaysia telah membuat pendirian tegas selaras dengan komitmen kerajaan untuk memelihara dan menjamin kepentingan industri padi dan beras tempatan.


“Ini bertujuan memastikan sektor pertanian kekal sebagai industri strategik selain memastikan kepentingan para petani tempatan,'' katanya.


Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan duti import beras dengan meningkatkan pengeluaran beras tempatan bagi memenuhi 90 peratus kadar sara diri berbanding 72.2 peratus pada masa sekarang.


Justeru, katanya, dakwaan bahawa kerajaan akan mengurangkan atau memansuhkan duti import beras dari AS di bawah USFTA adalah tidak benar sama sekali.



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard