Komuniti Siber X SMVPJB/SMTPJB

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Elak salah guna perkataan ‘kronik’


Optima 90/91

Status: Offline
Posts: 144
Date:
Elak salah guna perkataan ‘kronik’


Elak salah guna perkataan ‘kronik’

DALAM kepesatan kemajuan Malaysia yang akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50, tahap pengetahuan masyarakat berhubung isu semasa termasuklah perkara-perkara berhubung masalah kesihatan juga kian meningkat.


Sumbangan media cetak mahu pun elektronik dalam meningkatkan tahap celik kesihatan boleh dikatakan amat bersungguh.


Saban hari, pelbagai pihak tampil menyuarakan pendapat, meluahkan masalah, memohon bantuan khidmat kesihatan dalam pelbagai bentuk penyiaran dan gaya bahasa yang adakalanya kurang tepat.


Apa yang menarik perhatian saya di sini adalah berhubung penggunaan perkataan ‘kronik’ dalam kita memberikan pengertian terhadap satu-satu penyakit.


Jika dirujuk kepada kamus perubatan Dorland’s, perkataan kronik (chronic) bermaksud ‘dialami untuk tempoh yang lama’. Definisi menurut Edisi Baru Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pula ialah ‘tidak mudah/cepat sembuh atau berlarutan keadaannya’.


Pada pendapat saya, kronik ialah satu kata nama yang memberi sifat atau adjektif kepada sesuatu jenis penyakit, menggambarkan keadaan penyakit itu yang berlarutan untuk suatu tempoh yang lama.


Justeru, penggunaan perkataan kronik untuk menggambarkan keterukan simptom adalah kurang tepat kerana penyakit yang bersifat akut (acute) iaitu kata lawan kepada kronik selalunya lebih teruk daripada tanda-tanda penyakit kronik.


Adalah kurang tepat jika dinyatakan “Orang itu telah mengadu sakit dada secara tiba-tiba dan kemudiannya menjadi kronik” dengan tujuan untuk menggambarkan kesakitan yang dialami menjadi semakin teruk.


Sebagai contohnya, penyakit lelah (asma) adalah penyakit kronik yang stabil, tetapi episod kesukaran bernafas sehingga mengeluarkan bunyi dikategorikan sebagai serangan akut (acute exacerbation). Diabetes mellitus, hipertensi, kegagalan fungsi jantung adalah contoh beberapa penyakit kronik.


Kronik juga bukan nama untuk apa-apa jenis penyakit. Artikel dalam akhbar bertajuk Pelajar kronik jalani pemeriksaan rapi (Utusan Malaysia, 3 Januari 2007) lantas tidak dapat memberi maklumat tepat melainkan status pelajar yang berlanjutan sehingga dikelaskan sebagai kronik.


Walhal, menurut artikel yang disertakan, pelajar yang dimaksudkan sebenarnya mempunyai masalah jantung yang kronik, iaitu penyakit yang dihadapinya sejak sekian lama.


Oleh itu, sewajarnya kita lebih berhati-hati dalam penggunaan kata, kerana bahasa jiwa bangsa dan ‘yang elok itu budi dan yang indah itu bahasa’. Pendapat yang saya utarakan ini bukan bertujuan untuk mengajar sesiapa. Bahkan ia sekadar untuk berkongsi sedikit maklumat yang mungkin ada antara kita yang terlupa.


Bersama-samalah kita saling berpesan dengan kebenaran dan berinteraksi dengan penuh kesabaran agar semua pihak mendapat manfaat daripadanya.


– Dr. IRFAN MOHAMAD,


Kota Bharu, Kelantan.



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard