Komuniti Siber X SMVPJB/SMTPJB

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Strategi pentadbiran Abdullah cemerlang - Berita Harian


Optima 90/91

Status: Offline
Posts: 144
Date:
Strategi pentadbiran Abdullah cemerlang - Berita Harian


Oleh Zabidi Hitam, Anwar Hussin dan Norfatimah Ahmad

Seminar diberitahu kelemahan sistem penyampaian jejas rakyat



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini memasuki tahun keempat sebagai Perdana Menteri disifatkan mempunyai strategi cemerlang, tetapi kelemahan sistem penyampaian menghalang rakyat dan negara meraih manfaat penuh daripada kepemimpinannya.

Pandangan itu dikemukakan beberapa Menteri Kabinet, pemimpin politik, tokoh akademik dan pakar strategi pada seminar kebangsaan ‘Abdullah Ahmad Badawi Tiga Tahun Di Putrajaya: Menjejaki Pencapaian dan Strategi Masa Depan Negara’ di sini, semalam.

Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), berkata walaupun Abdullah memperkenalkan pelbagai dasar untuk kebaikan rakyat, manfaatnya tidak sampai kepada golongan sasaran.

“Penggubal dasar, pelaksana dan kumpulan sasar ialah tiga kelompok berbeza. Apa yang berlaku ialah kadangkala pembuat dasar gagal menjelaskan asasnya dengan baik kepada agensi pelaksana.

“Mereka yang ditugas melaksanakan rancangan itu sering mengambil masa terlalu lama untuk bertindak atau tidak mendapat gambaran jelas berhubung matlamatnya menyebabkan ia terkandas di pertengahan jalan sehingga gagal,” katanya pada sesi forum Misi Nasional dan Wawasan 2020 pada seminar itu.

Seminar sehari dihadiri lebih 100 orang itu, dianjurkan USM, Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli). Tujuh kertas kerja dibentangkan pada seminar itu.

Sambil menyifatkan tempoh tiga tahun untuk melaksanakan sesuatu dasar sebagai terlalu lama, Sivamurugan berkata ia sepatutnya dibuat dalam tempoh setahun.

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, pula berkata pihak tertentu yang mempunyai agenda sendiri juga sering campur tangan dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan.

“Ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada pendekatan pentadbiran Perdana Menteri yang dilihat berlembut dan bertolak ansur. Mereka memanipulasikan rancangan kerajaan demi memenuhi kepentingan sendiri.

“Golongan ini sering melengah-lengahkan tempoh pelaksanaan dasar kerajaan dengan membuat tuntutan sendiri sehingga ia melambatkan, malah kadangkala menghentikan terus pelaksanaannya,” katanya.

Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial MIC, Datuk Dr Denison Jayasooria, turut sependapat jentera pelaksanaan masih lemah.

“Kita harus mengadakan forum awam untuk menjelaskan secara terperinci berhubung sesuatu dasar kepada jentera pelaksana dan rakyat yang akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan atau perubahan sesuatu dasar,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad turut mengakui wujud kelemahan dalam jentera pelaksanaan, tetapi menegaskan masalah itu bukan baru, sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Masalah kelemahan dalam sistem penyampaian awam dan institusi kerajaan sebenarnya sudah berlaku sejak sebelum era Abdullah mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Mereka yang bertanggungjawab melaksanakan sesuatu rancangan kadangkala tidak memahami hasrat sesuatu keputusan yang dibuat penggubal dasar. Mereka tidak dapat menghayati sebab sesuatu itu dilakukan dan ini menyebabkan kekeliruan dan kehilangan hala tuju,” katanya dalam ucapan penutup yang dibacakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, Abdullah sangat tegas dalam menentukan arah tuju negara.

“Kalau ada yang katakan Abdullah hilang kawalan, saya tidak setuju, beliau fokus kepada arah yang hendak dituju dengan jelas,” katanya sambil menambah sejak menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu, Abdullah berjaya membawa iklim baru dalam kepemimpinan dan pentadbiran negara.

Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (Isis), Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan, berkata Abdullah juga berjaya meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri yang sesuai dengan peredaran masa.

Beliau berkata, keterbukaan yang diwujudkan Abdullah penting kerana tanpanya sukar untuk mewujudkan pentadbiran telus dan persekitaran tadbir urus yang baik.

“Abdullah berani mengorak langkah mewujudkan suasana keterbukaan, tetapi ia mungkin tidak diterima semua sebagai langkah yang baik kerana dalam suasana keterbukaan, isu sensitif mudah dieksploitasi,” katanya.



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard