Komuniti Siber X SMVPJB/SMTPJB

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Amaran banjir 7 negeri -- Jabatan Meteorologi keluarkan peringatan peringkat Merah dua kali - Utusan Malaysia


Optima 90/91

Status: Offline
Posts: 144
Date:
Amaran banjir 7 negeri -- Jabatan Meteorologi keluarkan peringatan peringkat Merah dua kali - Utusan Malaysia


 







TERPUTUS HUBUNGAN...Jalan utama ke Kampung Dura terputus apabila jambatan yang menghubungkan kawasan itu runtuh dilanda air deras Sungai Dura akibat hujan lebat berterusan di Hulu Terengganu, Terengganu, semalam. – Gambar FAUZI BAHARUDIN.



KUALA LUMPUR 7 Jan. – Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) hari ini mengeluarkan amaran peringkat Merah, iaitu amaran peringkat tertinggi mengenai kemungkinan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.


Semasa amaran Merah itu dikeluarkan pertama pukul 4.45 pagi dan terbaru 3.45 petang ini – lebih 1,000 penduduk di negeri- negeri Pantai Timur telah mula dipindahkan ke pusat penempatan sementara kerana rumah mereka dinaiki air.


Kenyataan JMM petang ini memberitahu, keadaan berangin dengan hujan lebat menyeluruh yang sedang berlaku di negeri-negeri itu dijangka berterusan sehingga Rabu ini.


Menurutnya, Perak Selatan dan Tengah Semenanjung masih berada di peringkat Jingga dan Kuning (bukan peringkat kritikal).


Keadaan mendung dengan hujan kadangkala sederhana di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka berlaku hingga Rabu ini.


Dalam pada itu, sehingga petang ini, seramai 900 penduduk di Terengganu telah dipindahkan manakala di Kelantan seramai 50 penduduk terlibat dalam pemindahan.


Daerah Dungun paling ramai yang dipindahkan iaitu 274 orang daripada 58 keluarga diikuti Hulu Terengganu seramai 269 (69 keluarga) dan kesemua mereka masing-masing ditempatkan di empat dan tujuh pusat pemindahan.


Di Besut pula, 260 orang daripada 51 keluarga dipindahkan ke empat buah pusat pemindahan manakala 83 orang daripada 15 keluarga di Setiu ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara.


Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Terengganu ketika dihubungi berkata, jalan Jerangau-Jabor di Kilometer 74 dekat JPJ Bukit Besi yang dinaiki air sedalam 0.7 meter sejauh 400 meter ditutup kepada kenderaan ringan pagi ini.


Di KELANTAN pula, lebih 55 penduduk di Kampung Telekung, Kuala Krai dipindahkan pagi ini apabila kampung mereka yang terletak di kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat sejak malam tadi.


Dalam perkembangan lain, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu yang diarah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir, menasihatkan penduduk di daerah Besut supaya berwaspada berikutan paras air Sungai Besut telah melepasi paras bahaya.


Jurucakap Bilik Gerakan JPS negeri berkata, bacaan pada pukul 10 pagi di Kampung La mendapati kedudukan paras air sungai itu telah melepasi paras 20.11 meter berbanding paras bahaya 19.2 meter.


Paras air Sungai Kruak, Besut melepasi paras amaran iaitu setinggi 34.7 meter (amaran 34 meter) manakala paras air Sungai Setiu setinggi 18.47 meter (amaran 18.2 meter).


Menurut jurucakap itu, paras air di semua sungai di Terengganu menunjukkan peningkatan.


Sementara itu, hujan lebat menyeluruh dilaporkan di Kelantan sejak malam tadi menyebabkan paras air beberapa sungai utama meningkat.


Data hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah kini mencapai 22.29 meter melepasi paras waspada 21.50 meter.


Bagaimanapun, paras air di beberapa sungai utama yang lain masih di bawah paras waspada.


Di SABAH, hujan sederhana dari semasa ke semasa di bahagian Kudat, Sandakan, Tawau, Pantai Barat dan Labuan dijangka berterusan hingga minggu depan.


Di SARAWAK pula, hujan sederhana yang sedang berlaku di beberapa tempat di Sarikei, Mukah, Sibu, Bintulu dan Miri dijangka berterusan sehingga lewat petang hari ini.


Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan terus menurun dengan lebih 2,000 orang di daerah Batu Pahat telah pulang ke rumah masing-masing sejak semalam.


Bagaimanapun, masih terdapat seramai 16,256 orang ditempatkan di 54 pusat pemindahan di daerah itu sehingga petang ini.


Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berkata, seramai 16,455 mangsa berada di 58 pusat pemindahan sehingga 8 pagi ini berbanding 18,055 malam tadi.


Dua daerah lain yang masih mempunyai jumlah mangsa banjir adalah di Muar dengan 83 orang dan Segamat dengan 116 orang.




__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard