Komuniti Siber X SMVPJB/SMTPJB

Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Hakim berang -- Kes rasuah Kasitah Gaddam kerap ditangguh pendakwa, pembela - Utusan Malaysia


Optima 90/91

Status: Offline
Posts: 144
Date:
Hakim berang -- Kes rasuah Kasitah Gaddam kerap ditangguh pendakwa, pembela - Utusan Malaysia


Hakim berang -- Kes rasuah Kasitah Gaddam kerap ditangguh pendakwa, pembela

Oleh: NORLIZAH ABAS


KUALA LUMPUR 4 Jan. – Hakim Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar kes rasuah dan penipuan melibatkan Tan Sri Kasitah Gaddam ‘berang’ dengan penangguhan demi penangguhan sehingga melengah-lengahkan prosiding perbicaraannya.


Kes itu yang disebut tiga tahun lalu, masih belum dapat dimulakan perbicaraan.


Hari ini, ia yang sepatutnya mula dibicarakan terpaksa ditangguhkan lagi atas permohonan pihak pendakwa dan pembela.


Pesuruhjaya Kehakiman Suraya Othman yang kecewa dengan situasi yang disifatkannya sebagai ‘kejutan demi kejutan’ itu bimbang jika penangguhan tersebut akan memberi gambaran bahawa mahkamah yang melengah-lengahkan prosiding itu.


Bagaimanapun, katanya, beliau tiada pilihan kerana ‘tangannya terikat’ demi keadilan semua pihak (pendakwa dan pembela) walaupun tindakannya membenarkan penangguhan akan menyebabkan orang ramai memberi tanggapan serong kepada mahkamah.


Perbicaraan terhadap bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi itu kemudian ditangguhkan pada Isnin ini, walaupun mahkamah sebelum ini memerintahkan ia didengar mulai hari ini secara berterusan sehingga akhir kes pendakwaan.


Kasitah, 59, dibicarakan atas tuduhan rasuah dengan mengambil bahagian ketika meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta unit saham pegangan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dalam SAPI Plantations Sdn. Bhd. kepada Briskmark Enterprise Sdn. Bhd. selepas beliau dijanjikan 3.36 juta saham SAPI Plantations.


Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menyembunyikan tawaran saham PPB Oil Palms Sdn. Bhd. yang dicadangkan untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur bagi mendorong ahli lembaga LKTNS meluluskan penjualan 16.8 juta saham pegangan lembaga itu dalam SAPI Plantations.


Kasitah dituduh melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat Forum, Hotel Fairlane di sini, 22 Oktober 1996.


Isu penangguhan itu bermula apabila peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Kasitah mengemukakan permohonan lisan hari ini supaya inti pati kedua-dua pertuduhan disemak semula bagi membolehkan pihaknya menyediakan pembelaan dengan lebih berkesan.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria yang mengetuai barisan pendakwaan memaklumkan, isu tersebut hanya ditimbulkan sejurus prosiding mahkamah bermula dan pihaknya memerlukan masa sama ada untuk menyertakan butiran lanjut yang dimaksudkan atau membantah permohonan tersebut.


Namun Suraya menyatakan: ‘‘Saya tidak begitu gembira dengan situasi sebegini (penangguhan kes). Saya sudah beri tempoh selama dua bulan bagi kedua-dua pihak menyelesaikan apa yang patut supaya kes dapat dijalankan terus.


‘‘Ini yang saya maksudkan sebagai kejutan demi kejutan. Saya tidak mahu lagi kejutan-kejutan sebegini kerana jika dilaporkan dalam akhbar, ia boleh mencerminkan bahawa mahkamah tidak sensitif terhadap usaha untuk mempercepatkan penyelesaian kes-kes rasuah.


‘‘Tangan saya terikat, kalau saya benarkan juga adakah ia satu tindakan yang wajar atau mahkamah akan terus dipersalahkan?’’ ujar beliau dengan nada tidak berpuas hati.


Suraya turut tidak bersetuju dengan hujah Muhammad Shafee mengenai tekanan media kerana mahkamah menurut beliau merupakan badan bebas dan tidak sekali-kali akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk media.


Berhubung permohonan semakan, beliau berkata, mahkamah tidak boleh memaksa pendakwa meminda pertuduhan sewenang-wenangnya hanya untuk memudahkan pihak pembelaan.


Beliau turut mempertikaikan mengapa permohonan semakan itu tidak dibuat secara bertulis tetapi disampaikan secara lisan hari ini manakala tiga set dokumen yang sepatutnya dibekalkan kepada mahkamah tidak dikemukakan.


Menurut Suraya, tidak perlu mengemukakan terlalu banyak dokumen kerana mahkamah hanya akan meneliti dokumen yang diperlukan sahaja.


Pada 12 Februari 2004, Kasitah, 59, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan rasuah dengan mengambil bahagian ketika meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta unit saham pegangan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dalam SAPI Plantations Sdn. Bhd. kepada Briskmark Enterprise Sdn. Bhd. selepas beliau dijanjikan 3.36 juta saham SAPI Plantations.


Kasitah didakwa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.


Bagi tuduhan kedua, dia mengaku tidak bersalah menyembunyikan tawaran saham PPB Oil Palms Sdn. Bhd. yang dicadangkan untuk disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur bagi mendorong ahli lembaga LKTNS meluluskan penjualan 16.8 juta saham pegangan lembaga itu dalam SAPI Plantations.


Bagi kesalahan itu, beliau dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.




__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard